Isnin, 25 Oktober 2010

BPG - Dunia Baru berwajah baru


Mungkin ramai yang bertanya .... atau .... mungkin ramai yang tidak tahu, Istilah pendidikan guru mula digunakan secara rasmi pada tahun 1981 bagi menggantikan istilah latihan perguruan yang telah digunakan sebelumnya. Perubahan ini adalah berikutan penukaran nama Bahagian Latihan Guru (BLG) kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Seiringan dengan itu, berlaku pula perubahan dalam program pendidikan guru di peringkat maktab perguruan dengan tempoh berkursus telah dilanjutkan daripada dua tahun kepada tiga tahun (Laporan Jawatan Kuasa Kabinet, 1979: 61).
Peranan guru menjadi semakin mencabar berikutan perkembangan bidang pendidikan yang begitu pesat sekali. Pendidikan guru di Malaysia adalah satu tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mendedahkan kaedah dan teknik pengajaran secara formal kepada setiap bakal guru, sama ada di maktab-maktab perguruan atau di pusat-pusat pengajian tinggi awam bagi menyesuaikan bakal guru dengan tugas apabila berada dalam bilik darjah nanti. 
Seawal tahun 2010 BPG sekalilagi mengalami perubahan, IPG yang selama ini bernaung di bawah pengurusan BPG telah diberikan kuasa autonomi sepenuhnya untuk melaksanakan segala keputusan dan pengurusan. Tugas-tugas dan peranan BPG hari ini lebih menjurus kepada latihan secara berterusan serta kursus-kursus peningkatan profesionalisme dan peningkatan akademik guru-guru dalam perkhidmatan. Dengan kata lain kebajikan guru-guru dalam perkhidmatan adalah di bawah tanggungjawab dan pemantauan berterusan di semua aspek termasuk peningkatan dan persijilan dalam bidang sukan dan kokurikulum.
Kepada semua bakal-bakal guru yang akan keluar  untuk mengajar atau "1st posting" adalah dimaklumkan bahawa BPG tidak menguruskan tentang penempatan guru-guru ke negeri mana atau kesekolah mana. BPG hanya berperanan melaksanakan urusan pengambilan dan kemudiannya diserahkan kepada IPG untuk tujuan penempatan kursus di Kampus seluruh Malaysia. Saya mencadangkan kepada bakal guru-guru supaya menyelaras atau mendapatkan maklumat lanjut tentang penempatan bagi tahun 2011 bermula pada minggu ke 3 bulan Disember 2010 sama ada di IPG Induk atau Bahagian Sekolah, Kementerian pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri.
Diharap penerangan ringkas ini dapat membantu.