
Kokurikulum merupakan suatu kegiatan atau aktiviti yang memberi peluang secara menyeluruh kepada setiap murid sekolah. Bagaimana? Peluang untuk menunjukan bakat atau memantapkan bakat kepimpinan, sukan dan lain-lain tidak dapat dipupuk melalui kurikulum formal semata-mata tetapi perlu diperkukuhkan melalui aktiviti-aktiviti di luar kelas sama ada waktu petang atau hujung minggu.
Kanak-kanak dan remaja secara umumnya mempunyai tenaga yang berlebihan, oleh itu menjadi tanggungjawab guru atau ibu bapa melihat dan membantu kanak-kanak dan remaja menggunakan tenaga ini ke arah kegiatan yang lebih memberi manafaat dan berfaedah. Aktiviti Kokurikulum dapat membantu membentuk ketrampilan dan disiplin kanak-kanak melalui aktiviti yang diikuti seperti perkhemahan, pertandingan dan lawatan.
Banyak keuntungan dan kelebihan kanak-kanak atau remaja terlibat secara aktif dalam Kokurikulum walaupun bukan untuk ke universiti tetapi ianya boleh membantu dalam membentuk potensi diri. Ibu bapa hari ini lebih menekankan pencapaian akademik semata-mata berbanding keupayaan kemahiran dan keseronokan anak-anak melalui zamannya. Itu tuntutan sebenar hari ini atau kata lain jika tiada akademik anak-anak tidak akan berpeluang mendapat kerja yang baik. Sangat jelas di minda masyarakat kita zaman ini, kerja “makan gaji” merupakan pilihan utama. Kita jarang memikirkan tentang kemahiran kelangsungan hidup. Oleh itu ditegaskan kelab reka cipta, kelab pertukangan atau apa sahaja kelab yang boleh memberi kelebihan untuk kanak-kanak atau remaja pelajar yang tidak mempunyai peningkatan akademik berpeluang belajar kemahiran untuk masa hadapan.
Guru-guru pula perlu sedar dan mengambil peluang memperkemaskan diri dengan ilmu kokurikulum untuk memimpin kanak-kanak atau remaja melaksanakan aktiviti secara berkesan dan berilmu. Guru-guru tidak seharusnya hanya tahu kokurikulum itu hanya terdiri 3 komponen sahaja iaitu unit beruniform, sukan/permainan dan kelab/persatuan. Pemahaman sebagai guru terhadap kokurikulum sepatutnya adalah menyeluruh. Setiap aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan perlu memberi kesan dan manafaat kepada setiap peserta. Ini kerana antara tugas guru itu sebagai pemangkin kemajuan anak didiknya. Sebagai guru sepatutnya tidak kekok dalam melaksanakan tugas-tugas kokurikulum yang dianggap sebagai sampingan. Guru perlu bekerja dengan ikhlas untuk mendapatkan keseronokan di persekitaran kerja. Walaupun kita sedar upah dan imbuhan itu perlu bagi tuntutan hari ini. Dengan itu tidak timbul desakan guru terbeban dengan tugas dan sebagainya sekiranya kita dapat menanamkan nilai keikhlasan dalam diri.
Akhirnya kita semua perlu melihat peranan kita dalam memajukan kokurikulum di sekolah, institusi perguruan dan intitusi pengajian tinggi. Ibu, bapa, masyarakat dan guru-guru malahan pelajar sendiri janganlah asyik menuding jari pada orang lain sedangkan kekurangan diri kita jarang kita lihat dan nilai. Kita semua bertanggungjawab dalam membena Negara Bangsa untuk di hormati di mata dunia. Tanyalah peranan kita untuk pembangunan generasi masa hadapan. Jesteru jika kita mampu membudayakan kokurikulum di institusi pendidikan, sedikit sebanyak membantu menangani masalah sosial hari ini.