Seorang sahabat dari IPG Ipoh dan seorang guru TKRS dari Segamat telah meluahkan harapan terhadap Unit Beruniform di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia. Menarik juga untuk dibincangkan tentang KRS dan TKRS ini. Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh En. Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong , Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987 dan dua belas tahun kemudian Tunas Kadet Remaja Sekolah ( TKRS ) diasaskan pada 15 Mac 1999. Sekolah yang menjadi sekolah pertama (perintis ) menubuhkan TKRS ialah Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Kuala Lumpur yang sekarang ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Setapak Indah. Tunas Kadet Remaja Sekolah ditubuhkan oleh En. Wan Mohd. Ariffin bin Wan Hussin khas untuk murid-murid sekolah rendah. Pada 27 Jun nanti genaplah usianya 23 tahun. Dah cukup matang dan telah melepasi usia remajanya. Namun begitu masih ramai guru-guru yang memandang sinis tentang kewujudannya. Ada yang mengatakan ianya ciplak dari Pergerakan Pengakap dan ada yang lebih berani mengatakan penggeraknya adalah orang-orang yang kecewa dalam Pergerakan Pengakap.
Matlamat penubuhan KRS dan TKRS adalah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang beriman, berakhlak mulia, berilmu dan berketrampilan selaras dengan hasrat Wawasan Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara ke arah menjayakan Wawasan 2020 dengan berteraskan Islam sebagai pegangan. Sebab itu motto KRS dan TKRS ”Ilmu, Iman dan Amal” kerana manusia lahir perlu berilmu untuk hidup dan menghadapi cabaran kehidupan, beriman ertinya ada pegangan hidup mengikut kepercayaan agama yang dianuti, mengajar yang baik dan menjauhi yang buruk kemudian perlu mengamalkan ajaran supaya sempurna.
Bersesuaian dengan teras kepercayaan berlandaskan Islam uniform unit ini berwarna hijau tetapi ianya tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana politik, sebaliknya hijau melambangkan pucuk muda yang mudah dilentur. Selain itu pakaiannya agak kemas dan menarik cuma bagi peserta atau ahli wanita diberi kelonggaran dari segi pakaian dengan boleh melabuhkan hingga ke paras bawah ponggong dan bertudung serta dimasukkan kedalam baju dan bajunya agak longgar sedikit.Rasanya dengan sedikit catatan ini dapat membantu rakan-rakan yang bertanya. Terpulang kepada kita bagaimana menyesuaikan keadaan cara berpakaian mengikut situasi, contohnya di belukar takkan kina nak pakai kain sarong, yang pasti kita berseluar. Guru atau pemimpin hari ini perlu kreatif dan inovatif. Prinsip kita mudah unit beruniform KPM bukan nak jadikan murid tentera tetapi insan yang berdisiplin serta tahu berperaturan. Bagi rakan-rakan yang seronoh menyarung uniform KRS,Pengakapatau apa saja perlu diingat uniform sebagai lambang tanggungjawab dan tanda pangkat sebagai beban kebertanggungjawaban kita. Jadi fikir-fikirlah. Untuk tuan-tuan berdua KPM akan mengadakan Kursus Dalam Perkhidmatan untuk guru-guru KRS/TKRS bermula 2011 melalui Bahagian Pendidikan Guru dan JPN. Bersabarlah.